Monday, February 22, 2010

ROAD RUN 2010


Acara Road Run 2010 merupakan acara yang diadakan sepanjang tahun di SMK Seksyen 19, Shah Alam. Acara ini telah diadakan pada 23 Januari 2010 (sabtu) iaitu pada pukul 7.30 pagi, membabitkan 5 buah rumah iaitu rumah Panglima, Temenggong, Laksamana, Syahbandar dan Bendahara. Aturcara majlis bermula dengan pendaftaran peserta dan pegawai pada pukul 7.20 pagi. Seterusnya disusuli dengan acara senamrobik pada pukul 7.35 pagi. Tepat pada pukul 8.00 pagi acara perlepasan peserta bermula mengikut kategori masing-masing iaitu kategori kelas khas perempuan, kelas khas lelaki, perempuan kelas 3, perempuan kelas 2, perempuan kelas 1, lelaki kelas 3, lelaki kelas 2 dan lelaki kelas 1. Seterusnya, tepat pada 10.30 pagi acara ini berakhir dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah pada pukul 11.00 pagi.

SEJARAH POLITIK MALAYSIA TRADISIONAL

SEJAUH MANAKAH PENGARUH ISLAM DALAM UNDANG-UNDANG MELAYU LAMA

1.1 Pendahuluan

Merujuk kepada konteks soalan ini, sejauh manakah pengaruh Islam dalam undang-undang Melayu lama kita akan merujuk kepada beberapa undang-undang Melayu lama di beberapa negeri antaranya ialah Melaka, Kedah, Pahang, Terengganu dan Acheh yang menerima pengaruh Islam dalam sistem perundangan mereka. Undang-undang atau sistem perundangan adalah suatu cara (means) untuk menyelesaikan berbagai-bagai bentuk konflik dan kekecohan dalam masyarakat (antara sesama individu, dalam kalangan sesama kelompok atau antara individu dan kelompok dengan sistem keadilan yang telah ditentukan oleh masyarakat tersebut). Manakala bagi ahli sejarah-sosiologi pula, undang-undang sering dilihat sebagai satu daripada hakikat (fenomena) masyarakat. Undang-undang merupakan sebahagian daripada keseluruhan sistem masyarakat yang bergerak, mengawal tindak tanduk manusia yang sering membentuk unsur-unsur dinamik selaras dengan dinamiknya kebudayaan dalam masyarakat tadi. Undang-undang tersebut mempunyai sejarah permulaanya, kemudian ia berkembang sesuai dengan perkembangan dan perubahan masyarakatnya. Kemudian undang-undang itu diwarisi dari semasa ke semasa dan zaman ke zaman untuk melindungi masyarakat, negeri dan menjaga keamanan.

1.2 Pemerintahan dan Pentadbiran

Bermulanya pengaruh Islam dalam undang-undang Melayu lama ialah daripada institusi pemerintahan beraja yang memang terdapat di Asia Tenggara. Sebelum ini di Asia Tenggara institusi pemerintahan dan pentadbiran serta perihal undang-undang adalah berlandaskan peraturan daripada prinsip dan budaya Hindu. Dengan kedatangan Islam beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada sistem ini. Pengubahsuaian yang besar ialah sistem pemerintahan berasaskan Islam secara tidak langsung turut mengubahkan sistem undang-undang berlandaskan hukum Islam. Institusi kesultanan telah diperkenalkan dan ini diwarisi daripada amalan pemerintah kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Sistem pentadbiran Islam ini meletakkan sultan sebagai ketua negara. Mufti dilantik sebagai penasihat sultan dalam hal ehwal agama Islam dan pentadbiran negara. Selain mufti, wujud pegawai dan petugas seperti kadi, khatib, bilal, pemungut zakat, penyelia baitulmal, dan penjaga harta wakaf. Penggunaan gelaran sultan telah mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Islam dan undang-undang Islam di Alam Melayu dan menjamin kewibawaan raja. Penyelarasan gelaran ini meletakkan mereka setaraf dengan pemerintahan kerajaan Islam lain di seluruh dunia dan memupuk semangat persaudaraan di kalangan umat Islam.

Dalam Hukum Kanun Melaka, raja-raja Melaka yang lain diberi gelaran Khalifatul Mukminin yang bererti pemimpin orang mukmin. Perkataan Khalifatul Mukmin juga tercatat pada mata wang syiling dalam kerajaan Melayu Melaka, Johor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain itu, gelaran Zillulah fil’ Alam yang bermaksud bayangan Allah di dalam alam ini juga digunakan oleh raja-raja Melaka.

Islam dijadikan agama rasmi oleh kerajaan Islam di Asia Tenggara, seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Brunei. Dalam sesebuah kerajaan Islam, sultan merupakan khalifah Allah atau wakil Allah di bumi dan mereka haruslah menunaikan amanah yang dikurniakan oleh Allah, iaitu memerintah dengan adil. Beberapa orang sultan yang alim berpegang teguh kepada ajaran Islam seperti Sultan Malik al-Zahir dari Samudera-Pasai, Sultan Ali Mughayat Syah, dan Sultan Iskandar Thani dari Acheh. Sultan-sultan ini telah menerapkan unsur-unsur Islam dalam pemerintahan mereka bagi menggantikan sistem pemerintahan beraja Hindu yang berasaskan konsep dewa-raja.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri, pemimpin kerajaan Islam Asia Tenggara telah memperkenalkan undang-undang syariah.[1] Walaupun undang-undang ini tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana masih terikat dengan undang-undang adat, namun, beberapa perubahan dapat dilihat. Misalnya, dalam mengendalikan kes jenayah seperti kecurian dan pembunuhan, urusan pernikahan, perniagaan, serta pembahagian harta pusaka. Kerajaan Melayu Melaka, misalnya, mempunyai undang-undang awam dan jenayahnya sendiri berdasarkan undang-undang syariah dan undang-undang adat. Undang-undang syariah ini termaktub dalam Hukum Kanun Melaka yang digubal oleh Sultan Alaudin Riayat Syah, undang-undang Islam ini dipraktikkan dengan tegas di Melaka. Di Acheh, terdapat kanun yang mempunyai ciri-ciri sebuah perlembagaan Islam yang dikenali sebagai Kanun Mahkota Alam.[2] Selain itu, kedudukan wanita pada zaman pemerintahan Sultanah Safiatudin telah diangkat martabatnya sejajar dengan ajaran Islam. Misalnya, seramai 22 orang wanita menganggotai Majlis Rakyat Acheh yang mempunyai 73 orang ahli. Selain itu, sembilan orang wanita menjadi ahli jawatankuasa kerja Mahkamah Rakyat dan terdapat undang-undang yang melindungi hak wanita sebagai anak, isteri, dan ibu tunggal.

1.3 Pengaruh Islam dalam Perundangan di Melaka, Kedah, Pahang, Terengganu dan Acheh.

Sebelum kedatangan Islam orang Melayu berpegang pada perundangan yang dibentuk dalam tradisi Hindu-Buddha yang disesuaikan dengan adat resam tempatan. Aspek perundangan dalam tradisi Hindu berpegang pada Hukum Kanun Manu yang secara jelas membezakan jenis hukuman berdasarkan kelas seseorang itu. Kedatangan Islam telah mengubah keadaan ini. Hukum-hukum Islam mula dijadikan asas undang-undang yang dikuatkuasakan. Seorang sarjana tempatan, iaitu Profesor Ahmad Ibrahim, pernah mengatakan bahawa di negeri-negeri Melayu sebelum wujud pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam dan adat Melayu. Kehadiran Islam telah memperkembangkan undang-undang bertulis seperti yang dipaparkan melalui Undang-Undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang,[3] Undang-Undang Kedah,[4] Undang-Undang Perak,[5] Undang-Undang Johor.[6] Kesemua kitab perundangan ini menjadi pencorak kepada perjalanan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Hukum Kanun Melaka, misalnya, menjelaskan tanggungjawab raja dan pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, hukuman terhadap kesalahan jenayah, undang-undang keluarga, permasalahan ibadah, serta jenis-jenis hukuman terhadap kesalahan tertentu. Oleh sebab kerajaan-kerajaan Melayu juga sangat aktif terbabit dalam aktiviti maritim dan perdagangan, maka, terdapat peraturan khas tentang hal berkaitan seperti yang dipaparkan dalam Undang-Undang Laut Melaka dan Undang-Undang Pelabuhan di negeri Kedah. Malahan kesan daripada kekuatan agama Islam itu sendiri dapat dipaparkan melalui fasal-fasal yang terdapat dalam undang-undang tersebut. Undang-Undang Laut Melaka, misalnya, menerangkan bahawa seseorang nakhoda (kapten) dalam sesebuah kapal diertikan sebagai imam dan anak buah kapal sebagai makmum. Undang-undang bertulis ini menjadikan perjalanan masyarakat menjadi tersusun kerana segala perlakuan, tanggungjawab, serta hukuman tentang kesalahan yang dilakukan telah ditentukan. Meskipun demikian, secara praktisnya, undang-undang ini mengecualikan diri raja atau sultan daripada sebarang tindakan. Hal ini melambangkan kedudukan raja atau sultan sebagai kuasa tertinggi dalam kerajaan.

1.3.1. Melaka

Undang-undang bertulis merupakan peraturan atau hukum dalam sesebuah masyarakat seperti Hukum Kanun Melaka,[7] Undang-Undang Laut Melaka, dan sebagainya. Ajaran Islam diserapkan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Melaka. Walaupun tidak mengikut 100% undang-undang Islam tetapi terdapat pengaruh Islam di dalamnya. Hukum Kanun Melaka hanya 40.95% hukum Islam manakala Undang-undang Laut Melaka hanya satu dari 25 fasal mengikut hukum Islam sebenar. Undang-undang Melaka ini berasaskan 2 peraturan iaitu peraturan adat dan peraturan agama. Peraturan adat berlandaskan Adat Temenggung manakala agama berlandaskan mazhab Syafie.

Undang-undang yang terdapat di Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dikenali juga dengan Undang-undang Darat Melaka atau Risalah Hukum Kanun. Hukum Kanun Melaka ini mempunyai 44 fasal dan berkuatkuasa di seluruh Melaka serta kawasan takluk jajahannya. Antara kandungannya yang terpenting ialah merangkumi tanggungjawab raja dan pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, perlaksanaan hukuman kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga, permasalahan ibadat dan muamalat serta hukum perhumaan. Undang-undang Islam yang terdapat di dalamnya secara jelas ialah undang-undang keluarga. Dalam hal ini terdapat pencampuran antara hukum adat dan hukum syara’. Contohnya, kesalahan jenayah membunuh sering ada pilihan antara hukum adat dengan hukum syara’. Dalam fasal 14.2 sesiapa yang bersabit dengan pembunuhan, hakim mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada hukum adat atau syara’ yang harus digunakan ke atas pesalah. Dalam hukum kanun Melaka ini juga terdapat perbezaan antara kelas bangsawan (raja), orang merdeka dan hamba ini bertentangan dengan hukum Islam. Walaupun terdapat kepincangan, terdapat juga perundangan yang mengikut hukum syara’ antaranya ialah perwalian seseorang perempuan (Fasal 25.1), syarat sah ijab kabul dalam perkahwinan (Fasal 25.2), hukum dan syarat saksi dalam pernikahan (Fasal 26), hukum-hukum tentang penceraian dan perpisahan antara suami dan isteri (Fasal 27-28), hukum riba (Fasal 30) dan hukum jual beli (Fasal 31.1 – 31.3). Selain itu, terdapat juga beberapa fasal yang lain yang jelas menampakkan hukum syariah di dalamnya.

Manakala bagi Undang-undang Laut Melaka, hanya 1 fasal sahaja yang mengandungi hukum syara’ iaitu tentang zina dan yang lain adalah hukum adat. Walaupun hukuman kesalahan zina dalam Undang-undang Laut Melaka lebih kurang sama dengan Hukum Kanun Melaka tetapi ia tiada alternatif dengan hukuman adat. Di samping itu, hukuman sebatnya juga berbeza. Dalam Hukum Kanun Melaka hukuman sebatnya ialah 80 kali manakala Undang-undang Laut Melaka ialah 100 kali. Walaupun hukum Islam sepenuhnya tidak dijalankan di Melaka tetapi hukum tersebut memang disedari oleh rakyat Melaka ketika itu. Para kadi dan undang-undang Islam telah memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri Melaka.

1.3.2 Kedah

Seterusnya, Undang-undang Kedah terdiri daripada beberapa bahagian. Bahagian pertama memperkatakan tentang undang-undang pelabuhan yang berkaitan dengan perdagangan sama ada dalam atau luar negeri. Bahagian kedua dikenali sebagai Tembera Dato' Seri Paduka Tuan atau Undang-undang Seri Paduka Tuan. Ia mengandungi 16 fasal yang menumpukan perhatian kepada hukum-hukum bagi kesalahan mencuri, berjudi, berlaga ayam, menghisap candu, minum arak dan lain-lain. Bahagian ketiga pula menerangkan tentang undang-undang dan peraturan dalam istana termasuk adat-istiadat, larangan-larangan yang mesti dipatuhi oleh rakyat, hak-hak istimewa golongan raja serta bidang kuasa seseorang pegawai yang dilantik. Bahagian keempat agak bercampur-aduk kerana berbagai-bagai perkara dimasukkan ke dalam bahagian ini. Ia termasuklah tentang bunga mas, alat kebesaran masa pertabalan, adat meminang diraja, perihal tugas dan tanggungjawab pembesar negeri dan lain-lain.

Bahagian yang lain terdiri dari satu perenggan undang-undang yang diberi nama Undang-undang 1199 Hijrah. Sebenarnya, undang-undang ini berkaitan dengan harta benda. Terdapat peruntukan-peruntukan berkaitan hamba sahaya, orang merdeheka, tanah bendang, tanah kampung, tanah dusun, gajah dan kerbau. Undang-undang ini hanya dilaksanakan setelah 30 tahun diperkenalkan. Secara keseluruhannya wujud persamaan antara Undang-undang Kedah ini dengan Hukum Kanun Melaka iaitu pengaruh Islam dalam Undang-undang Kedah. Antaranya ialah penentuan tarikh, undang-undang yang disuruh buat oleh raja adalah untuk negeri Islam, terdapat peruntukan memberi kuasa kepada syahbandar dan mata-mata menangkap pesalah dan dihukum dengan takzir raja, orang yang makan di khalayak pada bulan puasa ditangkap dan diberi makan rumput di hadapan balai atau dipukul atas kadarnya, hukum berkaitan jual beli, timbang-menimbang dan sukat-menyukat hendaklah sama berdasarkan nas "aufu mikyala wal mizana", menjelaskan peranan masjid, segala hukum bersesuaian dengan Islam dan diberitahu kepada rakyat setahun sekali, sebutan tentang "tanah mati" yang menjadi hal Allah taala dan seterusnya menjadi hak raja, disebut empat syarat raja-raja iaitu; manis mukanya sentiasa bertitah pada segala hamba yang di bawahnya, titah tiada boleh berubah-ubah, kerja kebajikan disuruh segera kerjakan tiadalah kejahatan, kerja kejahatan disuruh beri jadikan kebajikan. Selain itu, terdapat juga hukum-hukum bagi kesalahan membunuh, qazaf, mencuri, pinjam-meminjam matrimoni, khiar, talak, berniaga yang haram, ikrar, murtad, syarat menjadi saksi dan hukum bersumpah yang selaras dengan hukum Islam.

1.3.3. Pahang, Terengganu dan Acheh

Undang-undang Pahang pula merupakan perlembagaan negeri itu sejak tahun 1592, Pahang diisytiharkan sebagai Dar al-Islam dengan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (1592-1614) sebagai Khalifah. Undang-undang Pahang menggunakan hampir sepenuhnya peraturan berdasarkan hukum Islam. Daripada 68 fasal semuanya, 42 fasal merupakan terjemahan daripada undang-undang fiqh mazhab Shafi‛e. Menurur pendapat W.Linehan, selepas tahun 1450-an Masihi, agama Islam dijadikan agama rasmi di negeri itu. Berpandukan kepada fakta sejarah bahawa penerimaan agama Islam di Pahang, dikatakan berlaku abad ke-15 Masihi atau lebih tepat selepas negeri itu ditakluki oleh Melaka.

Islam juga memainkan peranan yang besar dalam sistem pemerintahan Melayu di Terengganu. Dari beberapa fakta sejarah yang ditemui, dapatlah ditegaskan bahawa Terengganu juga merupakan antara negeri-negeri di Tanah Melayu yang telah pun menerima Islam selewat-lewatnya pada abad ke-13 Masihi. Di atas Batu Bersurat Terengganu, terdapat bukti bahawa hukum Islam mengenai kesalahan berzina dilaksanakan di negeri itu sejak tahun 1303 Masihi lagi. Oleh itu, ternyatalah bahawa undang-undang Islam telah terlaksana di negeri tersebut, malah terbukti betapa pentingnya peranan Terengganu sebagai kawasan pengaruh Islam ketika itu. Hal tersebut dapat dibuktikan melalui catatan Batu Bersurat mengenai hukum jenayah dan mu‛amalah Islam, seperti menerangkan kesalahan orang-orang yang mencuri, berzina dan perkara-perkara yang berhubung dengan hutang piutang.

Dalam sistem pemerintahan Acheh pula, terdapat keterangan mengenai kedudukan Islam dalam pentadbiran negeri itu. Snouck Hurgrounge dalam tulisannya The Achinese mendakwa bahawa undang-undang Islam amat kuat dilaksanakan di Acheh berbanding dengan negeri-negeri lain di Alam Melayu. Jawatan pentadbir undang-undang tertinggi di bawah Kesultanan Acheh ialah Qadhi Malik al-‛Adil, manakala di setiap kampung terdapat ketuanya sendiri yang merupakan pemimpin masyarakatnya, sekaligus merupakan seorang imam yang bertanggungjawab bagi pentadbiran dalam urusan-urusan agama.

1.4 Kesimpulan

Kesimpulan dari paparan di atas, jelaslah bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu telah memberi kesan yang besar dan meluas dalam kehidupan masyarakatnya. Sehingga dengan itu telah berjaya merealisasikan ajaran dan tuntutan Islam di kalangan mereka secara berkesan, sekali gus dapat mengangkat martabat mereka ke tahap yang lebih baik dan bermaruah. Keadaan tersebut berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan mereka baik di kalangan individu,

keluarga, masyarakat atau negara. Kedatangan Islam telah membawa perubahan menyeluruh

kepada sistem kehidupan masyarakat Alam Melayu seperti akidah atau agama, sosial, politik, pemikiran, perundangan, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Melihat keadaan ini, maka, sangatlah bertepatan ungkapan yang telah diperkatakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Beliau mengatakan bahawa kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu ini haruslah ditanggapi sebagai zaman baru dalam pensenjarahan rantau ini. Namun, masih terdapat sebahagian bentuk budaya atau adat dari pengaruh Hindu sebelumnya diamalkan seperti adat bersanding dalam majlis perkahwinan dan lain-lain.

RUJUKAN

i) Buku

Liaw Yock Fang, Hassan Ahmad, 2003. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan.

Noresah Baharom, Rusli Abdul Ghani. 1996. Kamus Dewan, Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Tanpa Pengarang. 2007. Pelan Integriti Nasional. Institut Integriti Malaysia: Persiaran Duta.

T anpa Pengarang. 2008. Malaysia Kita. International Law Book Services: Petaling Jaya.

Tun Seri Lanang, Muhammad Haji Salleh(Pengkaji), 1997. Sulalat al-Salatin Ya’ni Perteturun Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

ii) Internet

“Bincangkan Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu Tradisional” dlm.

http://www.scribd.com/doc/13417116/Bincangkan-Pengaruh-Agama-Islam-Dalam-Masyarakat-Melayu-Tradisional

“Pengaruh Nilai Budaya Zaman Kesultanan Melayu Melaka Terhadap Perkembangan Politik Kontemporari”dlm.
http://lensahati.wordpress.com/2008/11/16/pengaruh-nilai-budaya-zaman-kesultanan-melayu-melaka-terhadap-perkembangan-politik-kontemporari/



[1] Undang-undang syariah ialah Undang-undang berdasarkan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w.

[2] Kanun Mahkota Melaka merupakan keterangan tentang tanggungjawab raja sebagai pemerintah. Selain itu, turut mencatatkan adat istiadat dan peraturan tradisi Acheh, misalnya, Balairung Seri dipimpin oleh Sultan manakala Balai Majlis Mahkamah Rakyat diketuai oleh Kadi malik al-Adi.

[3] Undang-undang Pahang telah digubal sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Muhyuddin yang memerintah antara tahun 1592-1614.

[4] Undang-undang Kedah pula mempunyai empat bahagian, iaitu undang-undang pelabuhan, undang-undang tentera yang bertarikh 1667, Hukum Kanun Dato’Star, dan Undang-undang 1784.

[5] Undang-undang Perak turut dikenali sebagai Undang-undang 99 yang dibawa oleh seorang Arab bernama Sayyid Hussain al-Furadz pada abad ke-17.

[6] Undang_undang Johor bertarikh 1789 dan didasarkan pada Undang-undang Laut dan Hukum Kanun Melaka.

[7] Terdapat 44 fasal dalam Hukum Kanun Melaka dan hukum ini mempunyai 46 naskah salinan yang disebut dengan pelabagai nama. Undang-undang Laut pula mengandungi 24 fasal.

Tuesday, December 22, 2009

BINCANGKAN KONSEP DIKOTOMI POLITIK-PENTADBIRAN DAN RELEVANNYA DI MALAYSIA KITA

BINCANGKAN KONSEP DIKOTOMI

POLITIK-PENTADBIRAN DAN RELEVANNYA

DI MALAYSIA KINI

ABSTRAK

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan pemerintah dipilih melalui pilihan raya. Sistem ini menggabungkan institusi raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan negeri dengan pilihan raya dijalankan secara berkala. Sistem ini, yang sudah dilaksanakan semenjak kemerdekaan, terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Justeru, sistem ini perlu dipertahankan dan dikembangkan manakala pelbagai kelemahan dan kekurangnnya diperbaiki. Manakala institusi pentadbiran di Malaysia adalah antara yang terbaik di negara membangun. Jentera pentadbiran bersama-sama dengan jentera politikmerupakan tulang belakang kekuatan masyarakat dan negara.

1.1 Pendahuluan

Konsep dikotomi atau turut dikenali sebagai konsep pengasingan kuasa dan pembahagian kuasa, bukan sahaja dipraktikkan di negara kita malah di beberapa negara di dunia ini. Seperti negara-negara demokrasi yang lain, Malaysia juga mengamalkan konsep dikotomi atau konsep pengasingan kuasa yang menjadi salah satu ciri utama dalam sistem pemerintahan dan politik kita. Jika dilihat dari sudut pandangan kamus dewan bahasa, edisi ketiga; dikotomi bermaksud pembahagian (pemisahan) antara dua kumpulan (kelompok dan lain-lain) dalam sesuatu hal yang saling bertentangan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996: 305). Selain itu, konsep dikotomi atau pengasingan kuasa turut ditakrif sebagai salah satu ciri utama demokrasi iaitu dikenali doktrin pengasingan kuasa. Malah doktrin pengasingan kuasa ini telah dikemukakan oleh Montensquieu, ahli falsafah Perancis yang mengutarakan pembahagian kuasa kepada tiga badan yang bebas iaitu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Oleh itu, jelaslah bahawa ketiga-tiga badan ini hanya melaksanakan bidang kuasanya dan tidak menjalankan kuasa yang dilaksanakan oleh badan-badan lain. Tujuan doktrin pengasingan kuasa ini adalah mengelakkan pemusatan kuasa pada sesuatu pihak tertentu sahaja.

1.2 Sejarah Konsep Dikotomi

Bermulanya konsep dikotomi politik-pentadbiran di Malaysia adalah melalui tindakan secara langsung dari penjajah (British) yang memerintah Malaysia (Tanah Melayu) pada waktu ketika itu. Misalnya, sistem perundangan yang berasaskan pemisahan atau pembahagian atau dikotomi politik-pentadbiran ini yang dirangka oleh penjajah menjadi asas kepada pembentukkan Perlembagaan Malaysia yang diguna pakai sehingga kini. Walau bagaimanapun, sejajar dengan perkembangan semasa sistem perundangan di Malaysia turut mengalami beberapa perubahan yang seterusnya telah merubah beberapa kandungan Perlembagaan Malaysia tersebut. Hal ini dapat dinyatakan secara ringkas melalui jadual dibawah ini.

Jadual 1.1 Ringkasan Isi Kandungan Perlembagaan Persekutuan

Bahagian

Bab

Perkara

Kandungan

1

1

1-4

Agama dan lain-lain

2

1

5-13

Kebebasan asasi

3

1

2

3

14-22

23-28A

29-31

Perolehan kewarganegaraan

Penamatan kewarganegaraan

Tambahan tentang kewarganeraan

4

1

2

3

4

5

6

32 - 37

38

39 – 43C

44 - 65

66 - 68

69

Kepala utama negara

Majlis Raja-raja

Pemerintah

Badan Perundangan Persekutuan

Acara Perundangan

Keupayaan terhadap harta dan lain-lain

5

1

70 -72

Negeri-negeri

6

1

2

3

4

5

6

7

73 - 79

80 - 81

82

83 – 91

92

93 - 95

95A- 95E

Hubungan antara Persekutuan dan negeri

Pembahagian kuasa pemerintah

Pembahagian beban kewangan

Tanah

Pembangunan negara

Siasatan Persekutuan terhadap negeri

Majlis Negara bagi kerajaan tempatan

7

1

2

96 - 112

112A -112E

Peruntukan-peruntukan kewangan

Sabah dan Sarawak

8

1

113 - 120

Pilihan raya

9

1

121 -131A

Kehakiman

10

1

132 - 148

Perkhidmatan awam

11

1

149 - 151

Menentang perbuatan subversif dan kuasa darurat

12

1

154 - 160

Am dan pelbagai

12A

1

161 – 161A

Sabah dan Sarawak

13

1

162 - 180

Peruntukan sementara dan peralihan

14

1

181

Raja tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah, kecuali di mahkamah khas

15

1

182

Mahkamah khas

15

1

183

Tiada tindakan boleh diambil ke atas Raja-raja kecuali dengan izin Peguam Negara

1.3 Jenis-jenis Kerajaan

Sebelum mewawancarakan dengan lebih lanjut tentang konsep dikotomi politik-pentadbiran di Malaysia, seharusnya kita turut melihat terlebih dahulu jenis-jenis kerajaan secara terperinci. Jika sebelum ini kita didedahkan dengan sejarah dikotomi itu sendiri maka dalam memahami asas-asas dikotomi itu perlulah dilihat merangkumi jenis-jenis kerajaan.

Terdapat beberapa jenis kerajaan dan sistem pemerintahan yang boleh dipilih untuk diamalkan oleh sesebuah negara. Terdapat tiga jenis kerajaan yang besar, iaitu:

(a) kerajaan yang ditentukan oleh orang ramai

(b) kerajaan yang ditentukan oleh seseorang

(c) kerajaan yang ditentukan oleh beberapa orang

Daripada tiga jenis ini, lahirlah berbagai-bagai sistem pemerintahan. Satu daripada sistem kerajaan yang paling meluas ialah Demokrasi Perwakilan. Malaysia telah memilih dan sedang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Terdapat tiga sebab utama mengapa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi perwakilan (jenis berparlimen), iaitu:

(a) British telah menggalakkan Malaysia berbuat demikian apabila kuasa penjajah itu hendak memberi kemerdekaan kepada kita pada tahun 1957.

(b) sistem ini memberi peluang kepada kita menganuti agama masing-masing, manakala sistem-sistem lain tidak menggalakkkan kepercayaan yang kuat dalam bidang agama.

(c) di Malaysia, terdapat berbagai-bagai kaum.

Jelaslah, bahawa dalam melaksanakan sesuatu pentadbiran atau pemerintahan sesebuah kerajaan tersebut terikat oleh faktor-faktor atau sebab-sebab tertentu yang memungkinkan ianya berlaku dikotomi atau pemisahan atau pembahagian kuasa sama ada politik atau pentadbiran disebabkan campur tangan dari penjajah. Hal ini terbukti negara kita terpaksa menerima segala-galanya yang dirancang oleh penjajah dalam membentuk sebuah negara merdeka dan pemerintahan sendiri.

Oleh demikian, konsep dikotomi politik-pentadbiran yang diamalkan di Malaysia bermula pada 1957-an selepas British bersetuju mengisytiharkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu (Malaysia) apabila segala syarat-syarat dipenuhi oleh orang Melayu ketika itu yang terpaksa menerima pemerintahan bercorak dikotomi demi kepentingan percaturan politik-pentadbiran terhadap tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India.

1.4 Demokrasi Berparlimen

Dalam membicarakan konsep dikotomi politik-pentadbiran tidak dapat lari dari menyentuh soal demokrasi berparlimen itu sendiri. Maka jelaslah apa yang dilihat pembahagian kuasa politik atau pentadbiran itu boleh diertikan juga dalam sesuatu tindakan secara langsung melalui demokrasi berparlimen. Secara ringkasnya, demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berbeza dengan negara-negara lain. Di mana tonggak utama dalam sistem pemerintahan di Malaysia ialah Perdana Menteri bertindak sebagai kuasa politik dan Ketua Negara (Yang di-Pertuan Agong) menjalankan tugas-tugas simbolik. Selain tu, Perdana Menteri dipilih oleh rakyat secara tidak langsung. Ahli Dewan Perwakilan (Dewan Rakyat) mempengaruhi kedudukan Perdana Menteri. Oleh yang demikian, kemenangan majoriti yang tinggi dalam kerusi Dewan Rakyat oleh parti yang diketuai oleh Perdana Menteri akan menentukan kekuatan jawatan Perdana Menteri. Perdana menteri boleh dipecat daripada jawatannya melalui undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat. Kemenangan dalam pilihanraya membolehkan Perdana Menteri melantik jemaah menteri yang terdiri daripada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

1.5 Dikotomi politik-pentadbiran di Malaysia

Terdapat tiga aspek atau makna kepada dikotomi dalam politik-pentadbiran atau pengasingan kuasa dan pembahagian kuasa iaitu:

(i) Pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam membuat undang-undang.

(ii) Pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam pentadbiran negara.

(iii) Terdapat Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman yang bebas.

(a) Maksud pertama pembahagian kuasa ialah Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa membuat undang-undang melalui Parlimen dan negeri-negeri dalam Persekutuan juga boleh membuat undang-undang melalui Dewan Undangan Negeri. Amerika Syarikat dan Malaysia mengamalkan sistem begini di bawah Sistem Federalisme manakala Britain mengamalkan Sistem Kesatuan di mana semua undang-undang dibuat oleh Parlimen. Di Britain tidak ada Dewan Undangan Negeri dan semua undang-undang dibuat di Westminster (Parlimen British).

(b) Maksud kedua pembahagian kuasa ialah, terdapatnya pembahagian kuasa antara pentadbiran Persekutuan dan pentadbiran negeri. Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam pentadbiran negeri. Kuasa Persekutuan adalah mengenai hal-hal seperti berikut:

(i) Dasar Luar Negeri

(ii) Pertahanan

(iii) Keselamatan Dalam Negeri

(iv) Kewarganegaraan

(v) Kewangan

(vi) Perdagangan dan Perindustrian

(vii) Pendidikan

Manakala kuasa politik-pentadbiran bagi Negeri adalah mengenai hal-hal seperti berikut:

(i) Undang-undang Islam

(ii) Tanah

(iii) Pertanian dan Perhutanan

(iv) Kerajaan Tempatan

(v) Perkhidmatan Tempatan

Walau bagaimanapun,terdapat juga kuasa bersama antara pentadbiran Persekutuan dan pentadbiran negeri dalam hal-hal seperti berikut:

(i) Kebajikan Awam

(ii) Biasiswa

(iii) Taman Negara dan Kehidupan Liar

(iv) Parit dan Tali Air

1.6 Kerelatifan dalam Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia

Apabila dalam membicarakan konsep dikotomi dan kerelevennya di Malaysia, kita tidak boleh lari dari aspek kerelatifan dalam Doktrin Pengasingan Kuasa tersebut. Jika sebelum ini kita melihat faktor sejarah, jenis-jenis kerajaan dan demokrasi berparlimen maka sudut kerelatifan tidak boleh diabaikan dalam mengkaji konsep dikotomi dan kerelevannya di Malaysia. Bahkan seharusnya ditekankan bahawa penerimaan konsep tersebut adalah sudah sebati dalam sistem politik-pentadbiran di negara kita. Harus diingatkan bahawa doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia berbeza dengan doktrin asal kerana doktrin ini menekankan kuasa secara relatif antara ketiga-tiga badan yang bebas. Untuk mendapat keterangan yang lebih lanjut, sila rujuk jadual 1.2.

Ciri-ciri saling bergantungan (relatif) antara ketiga-tiga badan adalah seperti berikut:

(a) Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara berkuasa dalam badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

(b) Perdana Menteri dan kabinetnya melaksanakan fungsi eksekutif di samping menjadi ahli Parlimen yang terlibat dalam membuat dan menggubal undang-undang.

(c) Peguam Negara turut diberi kuasa istimewa oleh Parlimen dalam hal-hal pemerintahan dan perundangan.

(d) Kebebasan Badan Kehakiman terjejas oleh Akta Parlimen yang memperuntukkan kuasa istimewa kepada Peguam Negara.

Jadual 1.2 Kerelatifan dalam Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia

Kerelatifan

Peringkat Persekutuan

Peringkat Negeri

Badan eksekutif badan perundangan dan badan kehakiman.

Yang di-Pertuan Agong dengan kuasa tertinggi dalam ketiga-tiga badan itu.

Sultan atau Yang Dipertuan Negeri dengan kuasa tertinggi dalam ketiga-tiga badan itu.

Badan Eksekutif dan badan Perundangan.

Perdana Menteri dan kabinetnya mentadbir dan juga merupakan ahli Parlimen terlibat dalam penggubalan undang-undang.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menjalankan tugas eksekutif dan juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri.

Badan Perundangan dan badan Kehakiman.

Kuasa diberi oleh Parlimen kepada Peguam Negara yang mempengaruh kebebasan bidang kehakiman dalam hal-hal perundangan.


Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman

· Fungsi Peguam Negara menasihati Jemaah Menteri atau menteri-menteri berkenaan soal undang-undang.

· Peguam Negara berfungsi sebagai Pendakwa Raya bagi kerajaan.


Maka jelaslah, dalam menyentuh soal relevan atau tidak konsep dikotomi dalam politik-pentadbiran di Malaysia masa kini ialah secara amnya ianya amat bersesuai dipratikkan di negara kita. Hal ini kerana keamanan yang dikecapi sehingga kini disebabkan oleh unsur-unsur yang terdapat dalam dikotomi atau pembahagian dasar politik-pentadbiran tersebut yang seterusnya mewujudkan kestabilan kepada negara.

1.7 Pembahagian Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Seterusnya, jikalau sebelum ini kita melihat dari aspek kerelatifan dalam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia, dalam mengkaji soal releven konsep dikotomi politik-pentadbiran kita juga boleh melihat dari sudut pembahagian kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,

Dalam sistem Kerajaan Persekutuan, wujudnya pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Seperti negara Amerika Syarikat, Malaysia juga mengamal Sistem Federalisme iaitu:

(a) Kerajaan Persekutuan berkuasa membuat undang-undang melalui Parlimen.

(b) Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang melalui Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, pembahagian kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga terdapat dalam pentadbiran negara. Antaranya ialah Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan. Manakala Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Negeri. Sila rujuk jadual 1.3.

Jadual 1.3 Senarai perkara-perkara di bawah kuasa tertentu.

Senarai Persekutuan

Senarai Negeri

Senarai Bersama

· Hal-ehwal luar negeri

· Pertahanan

· Keselamatan dalam negara

· Undang-undang sivil dan jenayah serta pentadbir keadilan

· Kewarganegaraan Persekutuan

· Jentera Kerajaan

· Kewangan

· Perdagangan dan perusahaan

· Perkapalan dan perikanan

· Perhubungan dan pengangkutan

· Kerja raya dan bekalan kuasa

· Siasatan dan penyelidikan

· Pendidikan

· Perubatan dan kesihatan

· Buruh dan keselamatan sosial

· Kebajikan orang asli

· Pekerjaan profesional

· Hari kelepasan am

· Persatuan-persatuan yang tidak diperbadankan

· Kawalan perosak pertanian

· Akhbar, terbitan dan penerbit

· Penapisan

· Pawagan dan tempat hiburan

· Perumahan

· Syarikat koperasi

· Perkhidamatan Bomba

· Hal-ehwal agama Islam

· Tanah

· Pertanian dan perhutanan

· Kerajaan Tempatan

· Perkhidmatan Kerajaan Tempatan

· Kerja-kerja negeri dan bekalan air

· Jentera Kerajaan Negeri

· Hari Kelepasan am Negeri

· Undang-undang dalam Senarai Negeri

· Ganti rugi di bawah undang-undang

· Penyu dan penangkapan ikan di sungai

· Kebajikan masyarakat

· Biasiswa

· Perlindungan binatang dan burung liar

· Ternakan

· Perancangan bandar

· Perancangan bandar dan luar bandar

· Kutu rayau dan penjaja beredar

· Kesihatan awam kebersihan dan pencegahan penyakit

· Perparitan dan pengairan

· Pemulihan lombong

· Pencegahan kebakaran dan keselamatan bangunan

Maka jelaslah bahawa konsep dikotomi dalam politik-pentadbiran masih releven dipakai sehingga kini di Malaysia, memandangkan pembahagian kuasa ini memudahkan kerajaan pusat. negeri dan bersama dalam melaksanakan tugasan masing-masing demi kepentingan dan kemakmuran rakyat secara amnya.

1.8 Badan Perundangan, badan Eksekutif dan badan Kehakiman

Untuk memahami dengan lebih lanjut konsep dikotomi politik-pentadbiran dan kerelevennya perlulah ditinjau satu persatu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman bagi mengetahui gambaran sebenar, mengapa badan-badan ini perlu dikekalkan di Malaysia.

Dalam perbincangan yang sebelum ini, kita telah menyentuh serba sedikit tentang tiga konsep pengasingan kuasa yang terdapat dalam sistem politik-pentadbiran di Malaysia. Badan perundangan merupakan sebuah badan yang memainkan peranan sebagai membuat undang-undang, bahkan badan perundangan mempunyai kuasa dalam:

(a) Penggubalan undang-undang

(b) Pembuatan undang-undang

(c) Pemansuhan undang-undang

Di peringkat Persekutuan, badan Perundangan diwakili oleh Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Manakala di peringkat Negeri pula, badan perundangan diwakili ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dipilih sepenuhnya oleh rakyat. Dua puluh Sembilan orang wakil Dewan Undangan Negeri yang dipilih oleh rakyat sementara empat puluh orang senator yang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Manakala, bidang kuasa badan Perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

(a) Parlimen membuat undang-undang dalam Senarai Persekutuan

(b) Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang dalam Senarai Negeri

(c) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang perkara-perkara dalam Senarai Bersama.

(d) Bagi perkara-perkara yang tidak tersenarai dalam mana-mana senarai berkenaan, Dewan Undangan Negeri akan membuat undang-undang berkenaan dengannya.


Seterusnya, badan Eskekutif merupakan pihak eksekutif yang mempunyai peranan dalam membuat dan menggubal dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan dalam negara selain menjalin hubungan dengan dunia luar. Pada peringkat Persekutuan, Jemaah Menteri akan merumuskan dasar-dasar kerajaan. Kerajaan Persekutuan melalui badan-badan berikut pula melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Antaranya ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian, Jabatan dan badan-badan awam. Manakala pada peringkat negeri pula, badan yang merumuskan dasar-dasar Kerajaan Negeri adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Antara badan-badan yang melaksanakan dasar-dasar digubal di peringkat negeri adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian (Sabah dan Sarawak), Jabatan, Agensi-agensi pusat negeri dan badan-badan awam. Bagi memantapkan lagi politik-pentadbiran dalam negara badan-badan penyelaras kerajaan diperlukan untuk menjalin hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan Negeri tanpa mengira aliran politik yang mentadbir sesebuah negeri, Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Tempatan. Badan-badan penyelaras ini penting untuk menyelaras perlaksanaan dasar dan projek-projek pembangunan di semua peringkat kerajaan.

Akhir sekali, badan Kehakiman, dimana badan-badan Kehakiman menjalankan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti berikut mentadbir keadilan, menyemak undang-undang, membatalkan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri dan membatalkan tindakan kerajaan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagan Negeri. Bagi melaksanakan fungsi-fungsinya, badan kehakiman dikategori seperti berikut:

(a) Mahkamah-mahkamah atasan

(b) Mahkamah-mahkamah rendah

(c) Mahkamah-mahkamah khas

(d) Tribunal dan badan-badan pengadilan

Jelaslah bahawa dalam memelihara keamanan dan kesamarataan tanpa mengira siapa pemerintah, kerajaan majoriti yang dibentuk atau disokong oleh rakyat dalam pilihan raya tanpa mengira ideologi politik di setiap negeri menjadikan asas tunjang utama atau dasar utama negara Malaysia mengamalkan konsep dikotomi politik-pentadbiran untuk kemakmuran negara. Hal ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana konsep dikotomi politik-pentadbiran sejak dahulu lagi dipratikkan dalam politik-pentadbiran negara Malaysia sehingga kini. Justeru itu, sistem ini perlu dipertahankan dan jikalau terdapat sebarang kelemahan yang ada dalam sistem ini haruslah diperbaiki dengan betujuan atau bermaksud untuk kesejahteran negara untuk terus makmur.

1.9 Kesimpulan

Jelaslah, maksud konsep dikotomi politik-pentadbiran di negara kita ialah pengasingan kuasa, yang mana wujudnya tiga badan, iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman yang bebas. Dan pengasingan kuasa ini telah memainkan satu simbol atau peranan dalam mencorakkan sistem sosial-pentadbiran di Malaysia. Oleh itu, jikalau ditinjau dari segi kerelevennya itu maka sistem pengasingan atau dikotomi politik-pentadbiran haruslah dikekalkan bagi menjamin perpaduan dan perbentukan sahsiah negara. Selaras dengan dasar kerajaan kini yang mahu memakmurkan negara tanpa adanya perasaan prejudis terhadap golongan politik yang berbeza fahamnya. Dalam erti kata yang lain, mewujudkan keamanan, kemakmuran dan apa yang perlu ditekankan ialah jati diri, perpaduan bangsa dan semangat “1Malaysia”; “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

RUJUKAN

Noresah Baharom, Rusli Abdul Ghani. 1996. Kamus Dewan, Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Tanpa pengarang. 2007. Pelan Integriti Nasional. Institut Integriti Malaysia: Persiaran Duta.

T anpa pengarang. 2008. Malaysia Kita. International Law Book Services: Petaling Jaya.