Monday, December 7, 2009

SENI PERANG SUN TZU TAFSIRAN CHINA MODEN

ULASAN BUKU

Tajuk : Seni Perang Sun Tzu Tafsiran China Moden

Karya : Sun Tzu (terjemahan Jeneral Tao Hanzhang)

Penerbit : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Kuala Lumpur, 2006

Halaman : 141 muka surat





Buku yang menjadi pilihan saya ialah Seni Perang Sun Tzu Tafsiran China Moden karya Sun Tzu (terjemahan Jeneral Tao Hanzhang) yang diterbitkan pada tahun 2006 oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB). Buku ini diterjemahkan dalam bahasa Melayu bagi meningkatkan lagi bahan bacaan di kalangan rakyat Malaysia terutama para pelajar pusat pengajian tinggi dan individu yang ingin mengkaji sejarah dan perkembangan seni perang kuno negara China. Saya mendapati bahawa karya Sun Tzu tidak begitu asing malahan selama 2, 400 tahun, Sun Tzu Art of War menjadi pendorong kepada banyak kemenangan besar dalam sejarah ketenteraan. Sun Tzu terkenal dengan falsafahnya iaitu”kenalilah musuh anda dan kenalilah diri anda sendiri, nescaya anda dapat mengharungi seratus pertempuran tanpa sebarang kekalahan”.



Walaupun telah ditulis kira-kira dua ribu empat tahun dahulu, namun saya mendapati karya Sun Tzu masih lagi menjadi amalan dalam peperangan moden sekarang. Malahan karya klasik yang hebat ini bukan sahaja sebagai panduan peperangan semata-mata, tetapi juga untuk kegunaan orang ramai. Sebagai contoh, taktinya boleh diamalkan oleh eksekutif syarikat utama, pakar runding, eksekutif pemasaran dan jualan, pengurus yang baru naik dan juga boleh diamalkan dalam kempen politik. Malah, mereka yang bermain permainan komputer berunsur strategi dan perang juga boleh menggunakannya.



Di samping itu, saya turut mendapati sebahagian besar teks ini juga ditumpukan kepada hubungan antara politik, ekonomi, diplomasi, geografi dan astronomi. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa hanya Sun Tzu’s Art of War satu-satunya daripada banyak karya tentang seni perang, yang diturunkan dari zaman ke zaman sehingga hari ini dan menjadi popular di negara luar dan juga di China. Contohnya, panglima perang Asia telahpun mengamalkan doktrin Sun Tzu sejak berabad-abad dahulu. Antaranya, pemimpin moden yang berlainan aliran pemikiran seperti Mao Zedong dan Jeneral Eisenhower turut menggunakan strategi Sun Tzu untuk mengubah bentuk dunia.



Tidak keterlaluan jika saya menyatakan bahawa pemikiran Sun Tzu tentang seni perang adalah jelas dan analitis dan mudah difahami. Dalam ertikata yang lain, ramai pakar ketenteraan dan komander dalam Tentera Pembebasan Rakyat China yang mengamalkan pelbagai prinsip dan teori dalam Sun Tzu’S Art of War dan memenangi banyak pertempuran.



Natijahnya, panduan Sun Tzu tentang ketepatan waktu, muslihat perang, kefleksibelan dan pengetahuan menyeluruh tentang pemimpin pihak lawan serta kekuatan dan kelemahannya masih berguna pada hari ini sebagaimana pada masa ia mula-mula diterbitkan.

No comments:

Post a Comment